Rabu, 22 April 2015

Gastrik/Pedih Ulu Hati/Kembung Perut part III

KEMBUNG PERUT


Kembung perut tidak hanya berlaku pada bayi tetapi dianggap masalah biasa yang dialami kebanyakan orang, terutama wanita kerana kejadian usus wanita yang lebih panjang (bertujuan agar wanita dapat menyerap lebih banyak cairan ketika bersalin). Dianggarkan 7-8 daripada setiap 10 orang mengalami masalah gas berlebihan.

Masalah kembung perut atau pengembangan abdomen sebenarnya tidak berlaku pada perut, sebaliknya di dalam usus kecil. Biasanya ia disebabkan proses penghadaman yang tidak teratur dan mengakibatkan penghasilan lebih banyak gas daripada biasa. Kehadiran gas berlebihan di dalam perut dan usus menyebabkan perut terasa sesak dan tidak selesa.


FAKTOR MENYEBABKAN PERUT KEMBUNG


  • Makan dengan cepat
  • Makan berlebihan
  • Makan makanan berlemak - menyebabkan proses pencernaan mengambil masa lebih lama dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut
  • Mengunyah gula-gula getah
  • Menghisap gula-gula
  • Merokok/penggunaan produk tembakau
  • Minum minuman berkarbonat - Kandungan karbon dioksida dalam minuman ini menghasilkan lebih banyak gas apabila ia menjadi hangat di dalam perut
  • Radang pada lapisan dalam perut/gastritis/ulser peptik
  • Jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H.pylori) - menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan
  • Pengambilan sumber serat (sayur, buah atau kekacang) yang terlalu banyak secara mendadak
  • Pemakaian gigi palsu yang longgar
  • Pernafasan berlebihan dalam keadaan cemas
  • Pengambilan pil pencegah kehamilan
  • Hormon - peningkatan hormon progesteron menyebabkan berlakunya ketegangan perut dan kembung perut semasa hamil/sebelum haid (akan hilang apabila haid bermula). Wanita yang menghampiri menopous juga akan lebih kerap mengalami situasi ini.
  • Pergerakan usus yang perlahan (wanita hamil & individu yang mengalami sembelit) - meningkatkan kemungkinan untuk bakteria memeram bahan kandungan usus
  • Terlalu banyak pengambilan makanan masin/makanan proses - garam yang tinggi dalam makanan menyebabkan tubuh kekurangan air, seterusnya menarik & mengekalkan air di dalam badan yang boleh menyebabkan kembung.
  • Kekurangan enzim laktase - penurunan kemampuan untuk mencerna laktosa (gula semulajadi yang terdapat dalam produk tenusu) yang menyebabkan penghasilan gas. Kembung perut ini sering dikaitkan dengan cirit-birit dan kekejangan tetapi ia juga boleh muncul sebagai gas sahaja. Orang yang berumur juga mengalami penurunan paras enzim tersebut.
  • Proses pemecahan makanan yang tidak tercerna - Tubuh tidak boleh mencerna sesetengah makanan akibat kekurangan enzim/masalah dengan kandungan hempedu atau lapisan usus. Di usus besar, bakteria baik akan memecahkan makanan yang tidak diserap oleh badan ini, seterusnya menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana.
  • Bayi yang mengalami kembung perut mungkin disebabkan sistem pencernaan yang belum matang, tertelan banyak udara banyak ketika menyusu/menelan makanan, intoleran laktosa atau tidak serasi dengan diet pemakanan ibu (bagi yang menyusu).

MAKANAN YANG MENYEBABKAN KEMBUNG PERUT

  • Gula-gula getah
  • Kekacang
  • Sayur-sayuran sejuk (kobis, brocoli, asparagus, dll)
  • Kebanyakan makanan berkanji (kentang, jagung, gandum, dll) kecuali beras
  • Bawang
  • Makanan bergoreng/berlemak/masin
  • Buah-buahan yang mengandungi gula yang tinggi (epal, pir, pic, buah prun). Jika anda menghadapi masalah kembung selepas makan buah-buahan, anda mungkin mempunyai masalah intoleransi gula fruktosa
  • Produk tenusu (bagi individu yang mempunyai masalah intoleransi laktosa)
  • Minuman berkarbonat
  • Minuman berkafein/minuman tinggi asid (jus oren, jus tomato, jus nenas, dll) akan mengganggu perut dan menyebabkan bengkakan dan kembung perut
  • Pemanis tiruan (sorbitol, xylitol, maltitol, mannitol, cyclamates dan sucralose) di dalam makanan proses menggalakkan penghasilan gas

**Makanan yang menghasilkan gas pada seseorang mungkin tidak menghasilkan gas pada individu lain kerana perbezaan kandungan bakteria/faktor penyebab berlakunya perut kembung


MAKANAN YANG MENGURANGKAN KEMBUNG PERUT

Pisang
Individu yang mengalami kekembungan yang berpunca dari pengambilan garam yang tinggi disarankan mengambil pisang. Potasium di dalam pisang berfungsi menangani masalah berkaitan garam berlebihan ini. Mengimbangi potasium-sodium (garam) amat penting untuk keseimbangan air di dalam tubuh badan.

**Elakkan pengambilan pisang jika kembung perut berpunca dari masalah pencernaan.

Yogurt (probiotics)
Pengambilan yogurt yang kerap dapat meningkan kadar bakteria baik di dalam usus yang membantu proses pencernaan. Disarankan mengambil yogurt perisa asli (boleh juga diambil bersama tambahan buah-buahan segar) untuk kesan yang terbaik.

Halia
Sifat halia yang panas mampu mengeluarkan gas dari perut dan usus serta memberikan kelegaan kepada perut. Namun elakkan pengambilan halia yang berlebihan kerana ia boleh memudaratkan lagi ulser perut.



Daun Pudina
Penyelidik dari University's Nerve-Gut Research Laboratory mendapati daun pudina bertindak melegakan kesakitan, merehatkan sistem penghadaman dan mengembalikannya kepada peristalsis normal.

**Jika anda turut mengalami pedih ulu hati, elakkan pengambilan daun pudina

Betik
Kajian pada 2009 menunjukkan betik masak mempunyai bahan yang dipanggil papain yang bertundak sebagai laxatif & membantu pergerakan usus yang lambat.

Timun (diuretik semulajadi)
Pengambilan timun merupakan salah satu pilihan alternatif. Kandungan airnya yang tinggi tetapi berserat rendah, meningkatkan kekerapan pembuangan air.


PERUT KEMBUNG PADA BAYI

• Teknik menyusukan bayi mestilah dengan posisi yang betul iaitu kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada perutnya untuk mengelakkan kembung perut. Dengan cara ini susu akan lebih mudah turun ke bahagian bawah perut dan udara yang masuk pada ruang atas perut akan membuat bayi menjadi lebih mudah untuk sendawa.

• Jika menyusukan bayi menggunakan botol susu, tinggikan sedikit bahagian bawah botol supaya gelembung udara tidak terhasil pada bahagian lubang puting susu. Kawal agar aliran susu tidak terlalu laju (dengan memastikan posisi kepala lebih tinggi).

• Anda juga boleh memilih botol susu yang direka khas yang mempunyai sistem aliran udara atau “air system”  bagi mengelakkan masalah ini.



• Sendawakan bayi secara lebih kerap. Cuba sendawakan bayi setiap kali anda menukar puting jika anda menyusukan bayi atau selepas bayi menghisap dua hingga tiga auns susu formula bagi bayi yang menyusu botol.

• Bayi yang sukar/tidak sendawa akan memudaratkan lagi masalah kembung perut. Gunakan teknik berikut untuk membantu bayi anda sendawa

a) Tiarapkan bayi dengan meletakkan perutnya di atas lutut anda dan gosok belakangnya dengan lembut sambil menghayun atau mengenjut lutut anda perlahan-lahan.

 b) Dakap bayi menggunakan sebelah tangan dengan meletakkan kepalanya ke bahu anda dan tepuk belakangnya perlahan-lahan dengan sebelah tangan lagi.

 c) Telentangkan bayi, angkat kakinya dan kayuhkan ke depan dan ke belakang seperti mengayuh basikal hingga lututnya rapat ke perut.

 d) Dudukkan bayi di atas pangkuan. Angkat kepala bayi dan tepuk belakangnya dengan perlahan. 

 e)Gerakkan/dukung bayi dengan posisi yang berbeza dan gosoklah belakang badannya dengan lembut.

 f) Jika bayi menyusu ketika tidur, sendengkan badan bayi agar sedikit mengiring dengan berhati-hati. Dan dengan lembut menepuk dan menggosok belakangnya

• Jika bayi mengalami kembung perut yang teruk, sapukan minyak telon pada perut bayi. Urut perut bayi dengan lembut disekitar perut dan juga kaki.


• Boleh juga menggunakan tuam panas daripada tungku khas untuk bayi atau pasir/tanah halus yang telah dipanaskan lalu diikat menjadi bunjut.

• Jika bayi terlalu kerap kembung dan diiringi cirit-birit, kemungkinan bayi anda tidak toleran laktosa. Bertukarlah kepada produk susu yang bebas laktosa/susu formula bayi untuk hypoallergenic.

• Boleh juga berikan bayi anda Gripe Water sebagai alternatif untuk masalah kembung perut/colic/bayi mulai tumbuh gigi. Gripe Water boleh diambil oleh bayi seawal usia 1 bulan dan juga boleh diambil oleh orang dewasa. Ianya selamat selagi anda memberikannya mengikut dose dan umur bayi tersebut. Terdapat pelbagai jenama Gripe Water boleh didapati dipasaran, namun cuba elakkan jenama yang mengandungi sodium bicarbonate (mengganggu tahap pH perut bayi anda) serta vegetable carbon (charcoal) yang menyebabkan najis bayi menjadi hitam/sembelit.


PETUA TRADISIONAL


  • Bagi bayi/kanak-kanak yang mengalami masalah kembung perut, ambil beberapa helai daun cekur lalu ditumbuk halus. Sapukan di perut tiga kali sehari.
  • Ambil beberapa biji bawang putih dan buang kulitnya. Hiris bawang putih nipis-nipis. Rebuskan bersama 2 gelas air putih sehingga tinggal satu gelas. Minum ramuan ini sebulan sekali.
**Tidak sesuai bagi individu yang turut mengalami masalah pedih ulu hati


  • Ambillah beberapa helai daun jambu batu yang masih muda (pucuknya). Mamah daun jambu batu itu dengan garam lalu airnya ditelan. Atau daun jambu biasa yang masih muda dimamah halus dan ditelan. Insya-Allah mujarab dan sakit perut anda akan hilang dengan sendirinya.


  • Ambil sebuku halia yang sederhana besar, dibersihkan dan ditumbuk kasar. Campurkan ke dalam setengah gelas air panas yang mendidih. Tutup gelas tersebut dengan piring dan biarkan beberapa minit. Kemudian tapis dan ambil airnya. Bahagikan kepada dua bahagian. Anda boleh minum satu bahagian dan satu bahagian lagi boleh disimpan di dalam peti sejuk. Bila mana anda merasa perut kembung, minumlah bahagian tersebut. Lakukan sehingga kembung perut anda hilang.
  • Ambil 3 buku halia, dibersihkan dan ditumbuk halus. Rebus bersama 2 cawan air sehingga sedikit kering. Setelah sejuk, masukkan ke dalam botol dan simpan di dalam peti sejuk. Untuk minum, ambil setengah cawan air rebusan halia dan campurkan sesudu makan madu. Minum ketika perlu. (Jangan menyimpan air rebusan halia terlalu lama kerana akan mengurangkan keberkesanannya)




1 ulasan:

  1. Oh great post we have similar articles related to beauty tips please visit our site https://glowpink.com/

    BalasPadam